Assalamualaikum warohmatullah
Alhamdulillah, tidak ada daya dan kekuatan melainkan atas pertolongan Allah yang telah memberikan saya kesempatan untuk mengisikan blog saya dengan pengisian yang agak sederhana ini. Yang saya rasa pada kali ini, saya akan mengemaskinikan blog saya dengan tajuk akhlak. Insha Allah...
Saya memuji mereka yang menyampaikan dakwah al-Quran dan as-Sunnah dengan semangat yang membuak-buak. Tidak dinafikan, inilah contoh yang patut ditekankan dan terus dipraktikkan agar orang awam sentiasa mentauhidkan Allah serta melakukan ibadah sahih. Tetapi, terdapat sedikit kepincangan apabila mereka berdakwah dengan tidak melihat kepada kondisi seseorang terlebih dahulu, lantas menggunakan ketegasan sehingga membuatkan orang menjauhkan diri dari mereka yang menyampaikan dakwah.
Allah berfirman:
"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." {QS. Ali Imran: 159}
Dan Sabda Nabi:
"Berilah kemudahan dan jangan mempersulit, Berilah khabar gembira dan jangan membuat mereka lari"
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Dapat kita petik daripada firman Allah dan sabda Nabi di atas bahawasanya, dakwah itu hendaklah disampaikan dengan sikap yang lembut, tidak tergopoh-gapah, dengan kesabaran dan disertakan dengan penuh hikmah. Kerana, ada sesetengah manusia, niat mereka baik dalam mengajak manusia kepada yang ma'ruf. Tetapi, cara mereka tidak sesuai dengan apa yang mereka niatkan. Ini kerena, ada daripada mereka yang apabila menyampaikan dakwah, mereka terus mengharap agar orang yang menerima dakwah tersebut, serta merta terus berubah. Harus di ingatkan di sini bahawa hidayah itu hanya milik Allah dan hanya daripada Allah untuk menentukan kepada siapa yang mendapatkan hidayah dan petunjuk daripada-Nya.
Semoga apa yang saya sampaikan ini, dapat memberikan kepada kita sedikit pelajaran. Bagi sesiapa yang menganggap ianya sebagai suatu kata-kata pembakar semangat, maka saya berharap agar jadikanlah ia satu cabaran buat diri. Masing-masing punya kelemahan dan kelebihan. Lantas, ianya juga nasihat buat diri saya sendiri. Semoga Allah menambahkan ilmu kepada kita dan terus istiqomah dalam menyampaikan dakwah sunnah.
Jika punya sebarang teguran, boleh lah tegur dan nasihat. Saya sangat perlukan teguran dari rakan-rakan.
Wallahu'alam
